Sabtu, 1 Oktober 2011
SAJAK RUMAH BARU
Telah kita siapkan rumah baru
untuk anak-anak berteduh
kerana kita diamanahkan
mendewasakan mereka
menjadi warga bijaksana
menjelang tahun wawasan
Telah kita siapkan rumah baru
di atas tiang muafakat
air, pasir, dan simen
dari tangan pelbagai bangsa
negara yang tumbuh
atas bumi toleransi
Telah kita siapkan rumah baru
berwajah kebangsaan
agar penghuni saling ramah
rajin memberi dan menerima
juadah kesejahteraan
sampai akhir zaman
Haron A.H
Anak Bumi Tercinta,
DBP 2001
Maksud
Rumah baru yang dimaksudkan ialah sebuah negara baru. Telah ada perancangan bagi memajukan negara pada masa akan datang.
Wawasan pada masa akan datang itu dibina secara kerjasama dengan rakyat di negara ini. Negara ini mampu maju hasil daripada sikap bertolak ansur antara kaum-kaum di negara ini
Rakyatnya pula akan sentiasa bersatu padu, hormat menghormati dan bekerjasama. Kesannya keharmonian hidup dapat dinikmati.
Persoalan
- masa depan negara ditentukan oleh generasi muda pada masa kini
- kerjasama antara kaum amat penting
Nada- patriotik
Gaya Bahasa
- metafora – tahun wawasan / tiang muafakat / bumi toleransi / juadah kesejahteraan
- perlambangan – rumah baru ( negara yang masih muda )
Pengajaran
- kita bertanggungjawab memberikan pendidikan yang secukupnya kepada generasi muda
- kita hendaklah bertindak dengan bijaksana dalam usaha mencapai wawasan
- setiap kaum harus mengamalkan toleransi dan muafakat untuk mewujudkan kesejahteraan dan perpaduan
- sesebuah negara yang aman adalah negara yang berlandaskan perpaduan antara kaum
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan