Sabtu, 1 Oktober 2011

HADIAH HARI GURU


Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya.

Ibunya terpaksa bertungkus-lumus bekerja sepeninggalan ayahnya tiga tahun yang lalu. Ayahnya bekerja terlalu berat semasa menjadi pemandu lori. Lalu jatuh sakit, muntah-muntah darah dan meninggal di hospital. Semenjak itu ibunya menjadi ibu dan ayah.
Tanah sawah seekar pusaka ibunya hanya cukup untuk berbelanja beberapa bulan dalam setahun. Bulan-bulan selebihnya terpaksalah ibunya sendiri berusaha mengambil upah menanam dan memotong padi. Kini ibunya sakit pula.
Penanggungan penderitaan itu amat dirasainya sebagai seorang abang yang baru berusia sepuluh tahun, belajar dalam darjah lima, di sekolah kebangsaan di kampungnya. Dan kerana itu dia tidak akan meminta apa-apa daripada ibunya untuk memberikan hadiah gurunya sempena Hari Guru pada tahun ini.
Ketika dia berjalan ke rumah Pak Mustaffa petang itu tergambar di fikirannya rakan-rakannya menyerahkan bungkusan hadiah masing-masing kepada Cikgu Fatimah. Ketika itu dia hanya merenungi bungkusan-bungkusan yang cantik, dibungkus dengan kertas berbunga, tentu mahal harganya; dengan hati yang penuh terharu.
“Oh, Apakah yang dapat aku hadiahkan pada Cikgu Fatimah? Dia sangat baik padaku. Dia banyak menolongku. Aku mesti hadiahkan sesuatu padanya.” Demikian azam Ramli sambil melangkah satu-satu menuju ke rumah Pak Mustaffa.
Rumah Pak Mustaffa berdekatan benar dengan sebuah bukit. Dia melihat pokok-pokok menghijau di sekitar bukit tersebut. Di situ dia dan ibunya sering mencari kayu api, umbut-umbut kayu dan ulam. Betapa segar daun-daun kayu di situ tanpa diterokai oleh manusia.



Sinopsis
Ramli merupakan anak yatim yang hidup dalam keadaan kemiskinan. Ramli tinggal bersama dengan ibunya, Mak Sopiah dan dua orang adiknya.

Sempena Hari Guru yang akan disambut di sekolahnya, Ramli berhajat untuk menghadiahkan sesuatu kepada gurunya, Cikgu Fatimah. Ibu Ramli berasa sedih kerana tidak dapat memenuhi hajat anaknya itu.

Ramli telah mengambil keputusan untuk menghadiahkan ulam pucuk janggus kepada Cikgu Fatimah. Awal-awal lagi Ramli telah menyerahkan hadiahnya itu.

Cikgu Fatimah berasa terharu apabila membaca nota yang ditulis oleh Ramli. Lantaran itu, Cikgu Fatimah mengambil keputusan untuk mengambil Ramli sebagai anak angkatnya.

Pihak sekolah juga berjanji akan memberi bantuan kepada Ramli dan pelajar-pelajar miskin yang lain.

Tema
Ketulusan hati seorang pelajar yang menghargai jasa guru

Persoalan
Menghargai jasa guru
Kemiskinan hidup
Pengorbanan seorang ibu

Tiada ulasan:

Catat Ulasan