Sabtu, 28 Mei 2011
PERUTUSAN YAB DATO' SRI NAJIB TUN ABDUL RAZAK SEMPENA HARI BELIA NEGARA 2011
Bismillahirahmanirrahim
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.
PEMBUKA
Pertama-tamanya saya ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan selamat menyambut Hari Belia kepada seluruh warga belia Malaysia. Sesungguhnya golongan belia sebagai kumpulan demografi terbesar rakyat Malaysia amat penting kepada hala tuju dan masa depan negara.
BELIA PEMANGKIN TRANSFORMASI
Saudara saudari sekalian,
Hari ini negara sedang menangani cabaran yang monumental, iaitu cabaran untuk merealisasikan wawasan kebangsaan bagi menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang fajar 2020. Malaysia memiliki tradisi unik bersikap pragmatik dan bukan dogmatik , mengambil jalan yang perlu sama ada ia senang mahupun sukar bagi memetakan laluan nasional yang bersifat transformatif. Inilah keunikan negara kita dari merebut kemerdekaan secara rundingan, mengukuh perpaduan nasional melalui integrasi dan bukannya asimilasi, menghapuskan pemberontakan komunis dengan memenangi hati dan fikiran, membangunkan kawasan luar bandar secara sistematik, membina infrastruktur asas secara di hadapan keluk, menarik pelaburan asing bagi merangsang proses perindustrian dan hari ini meningkatkan kedudukan negara dalam rantaian nilai global.
Kerajaan penuh percaya bahawa usaha untuk mencapai aspirasi nasional ini hanya akan berjaya menerusi perubahan dan pembaharuan secara lonjakan berganda, bukan lagi usaha secara eceran atau berdikit-dikit. Ke arah matlamat ini lahirlah Program Transformasi Ekonomi (ETP), Program Transformasi Kerajaan (GTP), serta Model Baru Ekonomi (NEM); bersama dengan Rancangan Malaysia ke-10 yang menjadi asas lonjakan Negara kita bagi pusingan terakhir ke arah Wawasan 2020.
Kejayaan wawasan dan kesemua prakarsa nasional ini memerlukan sumbangan pro-aktif golongan belia yang seharusnya menjadi penggerak yang memacu Negara ke tahap yang kita impikan. Maka amat sesuai tema bagi Hari Belia Negara 2011, “Belia Pemangkin Transformasi”.
BELIA MENCERMIN KEUNGGULAN NEGARA
Saudara dan saudari,
Golongan belia mencerminkan harapan masa hadapan negara; saudara saudari semua adalah penting untuk masa depan Negara – “the best hope for the nation’s future”. Semangat dan azam yang membara di kalangan anak muda, seharusnya disalurkan ke arah aktiviti-aktiviti bermanfaat yang dapat membangunkan diri dan mengambil peluang sosioekonomi yang kian bertambah.
Semangat kesukarelawan juga harus dinyalakan kembali, dipacu oleh daya tenaga serta idealisme golongan belia . Taburlah khidmat bakti dengan penuh keikhlasan kerana wang ringgit tidak akan kekal namun budi baik yang tetap dikenang.
1MALAYSIA PENYULUH KEMARAAN
Saudara saudari sekalian,
Berpaksikan konsep 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, saya percaya golongan belia akan terus memacu Negara ke hadapan. Sebagai pewaris bangsa, agama dan Negara, golongan muda sewajarnya meneruskan perjalanan mulia ini, lebih-lebih lagi dalam memupuk dan menyuburkan perpaduan nasional.
Semoga tahun 2011 dan seterusnya akan menyerlah dengan adanya penglibatan tenaga muda di dalam Arus Perdana Negara. Tampil ke hadapan mengambil tampuk utama transformasi Negara. Jadikanlah usia muda ini sebagai landasan ke masa hadapan yang diingini, yang diimpikan.
Wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabaraktuh.
DIPETIK DARIPADA LAMAN SESAWANG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan