Sabtu, 18 Jun 2011

KISAH POKOK EPAL [DIPETIK DARI LAMAN SESAWANG]

Suatu masa dahulu, terdapat sebatang pokok epal yang amat besar. Seorang kanak-kanak lelaki begitu gemar bermain-main di sekitar pokok epal ini setiap hari. Dia memanjat pokok tersebut, memetik serta memakan epal sepuas-puas hatinya, dan adakalanya dia berehat lalu terlelap di perdu pokok epal tersebut. Budak lelaki tersebut begitu menyayangi tempat permainannya. Pokok epal itu juga menyukai budak tersebut.
Masa berlalu... budak lelaki itu sudah besar dan menjadi seorang remaja. Dia tidak lagi menghabiskan masanya setiap hari bermain di sekitar pokok epal tersebut. Namun begitu, suatu hari dia datang kepada pokok epal tersebut dengan wajah yang sedih.
"Marilah bermain-mainlah di sekitarku," ajak pokok epal itu.
"Aku bukan lagi kanak-kanak, aku tidak lagi gemar bermain dengan engkau," jawab budak remaja itu.
"Aku mahukan permainan. Aku perlukan wang untuk membelinya," tambah budak remaja itu dengan nada yang sedih.
Lalu pokok epal itu berkata, "Kalau begitu, petiklah epal-epal yang ada padaku. Jualkannya untuk mendapatkan wang. Dengan itu, kau dapat membeli permainan yang kau inginkan."
Budak remaja itu dengan gembiranya memetik semua epal di pokok itu dan pergi dari situ. Dia tidak kembali lagi selepas itu. Pokok epal itu merasa sedih.
Masa berlalu...
Suatu hari, budak remaja itu kembali. Dia semakin dewasa. Pokok epal itu merasa gembira.
"Marilah bermain-mainlah di sekitarku," ajak pokok epal itu. "Aku tiada masa untuk bermain. Aku terpaksa bekerja untuk mendapatkan wang. Aku ingin membina rumah sebagai tempat perlindungan untuk keluargaku. Bolehkah kau menolongku?" Tanya budak itu. "Maafkan aku. Aku tidak mempunyai rumah. Tetapi kau boleh memotong dahan-dahanku yang besar ini dan kau buatlah rumah daripadanya. " Pokok epal itu memberikan cadangan.
Lalu, budak yang semakin dewasa itu memotong kesemua dahan pokok epal itu dan pergi dengan gembiranya. Pokok epal itu pun tumpang gembira tetapi kemudiannya merasa sedih kerana budak itu tidak kembali lagi selepas itu.
Suatu hari yang panas, seorang lelaki datang menemui pokok epal itu. Dia sebenarnya adalah budak lelaki yang pernah bermain-main dengan pokok epal itu. Dia telah matang dan dewasa.
"Marilah bermain-mainlah di sekitarku," ajak pokok epal itu.
"Maafkan aku, tetapi aku bukan lagi budak lelaki yang suka bermain-main di sekitarmu. Aku sudah dewasa. Aku mempunyai cita-cita untuk belayar. Malangnya, aku tidak mempunyai bot. Bolehkah kau menolongku?" tanya lelaki itu.
"Aku tidak mempunyai bot untuk diberikan kepada kau. Tetapi kau boleh memotong batang pokok ini untuk dijadikan bot. Kau akan dapat belayar dengan gembira," cadang pokok epal itu.
Lelaki itu merasa amat gembira dan menebang batang pokok epal itu. Dia kemudiannya pergi dari situ dengan gembiranya dan tidak kembali lagi selepas itu.
Namun begitu, pada suatu hari, seorang lelaki yang semakin dimamah usia, datang menuju pokok epal itu. Dia adalah budak lelaki yang pernah bermain di sekitar pokok epal itu.
"Maafkan aku. Aku tidak ada apa-apa lagi nak diberikan kepada kau. Aku sudah memberikan buahku untuk kau jual, dahanku untuk kau buat rumah, batangku untuk kau buat bot. Aku hanya ada tunggul dengan akar yang hampir mati..." kata pokok epal itu dengan nada pilu.
"Aku tidak mahu epalmu kerana aku sudah tiada bergigi untuk memakannya, aku tidak mahu dahanmu kerana aku sudah tua untuk memotongnya, aku tidak mahu batang pokokmu kerana aku berupaya untuk belayar lagi, aku merasa penat dan ingin berehat," jawab lelaki tua itu. "Jika begitu, berehatlah di perduku," cadang pokok epal itu.Lalu lelaki tua itu duduk berehat di perdu pokok epal itu dan berehat. Mereka berdua menangis kegembiraan.

Happy Fathers Day

HARI BAPA [Rujukan Wikipedia]
HARI bapa adalah hari untuk kita mengenang kembali jasa dan pengorbanan seorang insan yang dipanggil ayah, yang disebut abah, yang saban waktu diingat-ingat sebagai seorang papa. Tak kisah apa pun gelaran bagi mereka, namun ayah, bapa, papa, abah, daddy dan sebagainya punya nilai yang mesti kita hargai, kita sanjungi dan kita ingati.
Anda yang masih punya bapa, maka hargailah keberadaan mereka bersama anda. Yang telah tiada, maka doa anda untuk merekalah yang sentiasa hidup bersama roh mereka di sana.

Sejarah Hari Bapa
Pelbagai cerita dan pendapat yang berkembang dan dicatat dalam cerita sejarah mengenai bermulanya idea sambutan hari bapa ini.
Ms Sonora Louise telah digelar sebagai Mother of the Father’s Day Festival. Ini semua kerana besarnya sumbangan dan pengorbanan beliau dalam usaha untuk mewujudkan sambutan hari bapa sebagai mana yang kita sambut sehingga hari ini.
Mengikut catatan sejarah, idea pengasasan hari bapa mula timbul di benak Sonora setelah beliau mengetahui akan adanya sambutan hari ibu pada sekitar tahun 1909. Beliau kemudiannya melihat sendiri begitu besarnya pengorbanan dan susah-payah bapanya dalam membesarkan adik beradiknya setelah kematian ibunya. Justeru, beliau sendiri berfikir bahawa mengapa tidak juga diadakan sambutan bagi mengenang dan menghargai jasa seorang bapa.
Ideanya ini telah cuba disebar luaskan olehnya sendiri ke merata tempat. Dan ramai juga yang menerima dan ada juga yang mentertawakan usahanya itu. Namun, Sonora tetap berusaha lebih gigih demi memastikan impian dan matlamatnya itu tercapai.
Usaha dan jerih-payahnya mula menampakkan hasil apabila pada 19 Jun 1910, sambutan hari bapa telah mula disambut di Spokane, Washington.
Hari berganti hari, bulan berganti bulan dan tahun juga silih-berganti. Hampir kesemua presiden Amerika Syarikat menerima dan menyetujui sambutan Hari Bapa. Dan akhirnya pada tahun 1972, presiden Richard Nixon mengumumkan bahawa hari ahad minggu ketiga Jun adalah sambutan umum perayaan sambutan hari bapa.

Hari Bapa di Malaysia.
Umumnya, sambutan hari bapa ini telah disambut di pelbagai tempat pada tarikh berbeza-beza. Namun, di kebanyakan tempat ianya akan disambut pada tarikh ini seperti juga di negara kita, Malaysia. Dan pada tahun ini ianya jatuh pada tanggal 19 Jun 2011.
Budaya hari bapa di Malaysia seharusnya dipraktikkan dengan lebih meluas lagi di negara kita. Bukan soal sejarah atau tarikhnya itu yang menjadi titik bualnya, namun sejauh mana penghayatan dan nilai pengorbanan seorang bapa itulah yang mesti dihargai dan disanjung.
Amalan hormat menghormati pada yang tua, sayang menyayangi dengan yang muda seharusnya dijadikan budaya harian, adat warisan.
Sayang yang tua, kasihkan yang muda. Sayang pada ayah, kasihkan pada anak-anak. Itu yang diharapkan. Selamat Hari Bapa!