HARI BAPA [Rujukan Wikipedia]
HARI bapa adalah hari untuk kita mengenang kembali jasa dan pengorbanan seorang insan yang dipanggil ayah, yang disebut abah, yang saban waktu diingat-ingat sebagai seorang papa. Tak kisah apa pun gelaran bagi mereka, namun ayah, bapa, papa, abah, daddy dan sebagainya punya nilai yang mesti kita hargai, kita sanjungi dan kita ingati.
Anda yang masih punya bapa, maka hargailah keberadaan mereka bersama anda. Yang telah tiada, maka doa anda untuk merekalah yang sentiasa hidup bersama roh mereka di sana.
Sejarah Hari Bapa
Pelbagai cerita dan pendapat yang berkembang dan dicatat dalam cerita sejarah mengenai bermulanya idea sambutan hari bapa ini.
Ms Sonora Louise telah digelar sebagai Mother of the Father’s Day Festival. Ini semua kerana besarnya sumbangan dan pengorbanan beliau dalam usaha untuk mewujudkan sambutan hari bapa sebagai mana yang kita sambut sehingga hari ini.
Mengikut catatan sejarah, idea pengasasan hari bapa mula timbul di benak Sonora setelah beliau mengetahui akan adanya sambutan hari ibu pada sekitar tahun 1909. Beliau kemudiannya melihat sendiri begitu besarnya pengorbanan dan susah-payah bapanya dalam membesarkan adik beradiknya setelah kematian ibunya. Justeru, beliau sendiri berfikir bahawa mengapa tidak juga diadakan sambutan bagi mengenang dan menghargai jasa seorang bapa.
Ideanya ini telah cuba disebar luaskan olehnya sendiri ke merata tempat. Dan ramai juga yang menerima dan ada juga yang mentertawakan usahanya itu. Namun, Sonora tetap berusaha lebih gigih demi memastikan impian dan matlamatnya itu tercapai.
Usaha dan jerih-payahnya mula menampakkan hasil apabila pada 19 Jun 1910, sambutan hari bapa telah mula disambut di Spokane, Washington.
Hari berganti hari, bulan berganti bulan dan tahun juga silih-berganti. Hampir kesemua presiden Amerika Syarikat menerima dan menyetujui sambutan Hari Bapa. Dan akhirnya pada tahun 1972, presiden Richard Nixon mengumumkan bahawa hari ahad minggu ketiga Jun adalah sambutan umum perayaan sambutan hari bapa.
Hari Bapa di Malaysia.
Umumnya, sambutan hari bapa ini telah disambut di pelbagai tempat pada tarikh berbeza-beza. Namun, di kebanyakan tempat ianya akan disambut pada tarikh ini seperti juga di negara kita, Malaysia. Dan pada tahun ini ianya jatuh pada tanggal 19 Jun 2011.
Budaya hari bapa di Malaysia seharusnya dipraktikkan dengan lebih meluas lagi di negara kita. Bukan soal sejarah atau tarikhnya itu yang menjadi titik bualnya, namun sejauh mana penghayatan dan nilai pengorbanan seorang bapa itulah yang mesti dihargai dan disanjung.
Amalan hormat menghormati pada yang tua, sayang menyayangi dengan yang muda seharusnya dijadikan budaya harian, adat warisan.
Sayang yang tua, kasihkan yang muda. Sayang pada ayah, kasihkan pada anak-anak. Itu yang diharapkan. Selamat Hari Bapa!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan